Kuala
Terengganu: Sepasang kekasih memberi alasan mahu berbincang urusan
kerja ketika dicekup berkhalwat oleh penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal
Agama Terengganu (JHEAT) di rumah sewa di Taman Sri Kolam, di sini, pagi
tadi.
Malah,
wanita berusia 23 tahun tanpa segan silu mengaku hanya melakukan ‘aksi
ringan’ bersama kekasihnya berstatus suami orang sebelum diserbu penguat
kuasa dalam Ops Valentine Day kira-kira jam 1.30 pagi.
Pesuruhjaya
JHEAT Datuk Wan Mohd Wan Ibrahim berkata, serbuan dilakukan selepas
menerima maklumat daripada penduduk setempat di kawasan berkenaan
mengenai tindak tanduk mencurigakan pasangan yang bekerja di sebuah
syarikat pengiklanan.
Beliau
berkata, siasatan mendapati lelaki berusia 29 tahun menyewa
berseorangan di rumah itu memandangkan isterinya menetap di Kelantan.
"Wanita yang masih bujang itu memaklumkan datang ke rumah sewa lelaki terbabit untuk berbincang mengenai urusan kerja.
"Selepas
berbincang, wanita itu memaklumkan mereka menonton cerita melalui
komputer riba dan mengaku hanya melakukan aksi ringan seperti berpeluk
dan cium sambil menonton cerita," katanya.
Pasangan
berkenaan dibawa ke pejabat JHEAT untuk siasatan lanjut mengikut
Seksyen 31 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001
kerana berkhalwat.